Gaharu (Agarwood)

Gaharu bukanlah nama kayu tetapi ia adalah hasil dari tindak balas kimia dalam pokok Karas atau dikenali juga sebagai Depu. Tindak balas ini terhasil kerana pokok tersebut mengalami luka atau serangan penyakit dan kulat yang menjangkiti pokok tersebut dan boleh menembusi ke pembuluh kayu (vessel). Hasil tindak balas kimia dalam kayu karas tadi menghasilkan resin ,atau damar wangi yang dinamakan gaharu.

Berasal dari perkataan Sanskrit Aguru yang bermaksud kayu berat (tenggelam) ia juga lebih dikenali dengan nama agarwood, aloeswood, eagleswood, Jin-koh (Jepun), oud (Arab). Pokok Karas atau nama saintifiknya Aquilaria telah disenaraikan dalam Jadual CITES Appendix II sebagai spesies yang sedang diancam kepupusan berikutan penuaian melampau di habitat asalnya.

Spesies utama yang digunakan untuk mengambil gaharu dari hutan semulajadi sejak ratusan tahun ialah Aquilaria malaccensis. Bagaimanapun projek penanaman gaharu secara komersial besar-besaran di buat menggunakan dua spesies utama iaitu A. sub-integra dan A. crassna. Kedua-dua spesies ini di pilih kerana keupayaannya untuk tumbuh membesar dengan lebih cepat berbanding dengan spesis A.Malacensis tempatan.

Hasil kajian yang dibuat oleh Professor Richard Blanchart (2004-Bangkok, Thailand) dari University of Minnesota di Kemboja, Thailand dan Papua New Guinea mendapati bahawa pokok gaharu boleh di tanam secara komersial dan boleh dirawat untuk menghasilkan gaharu dalam kuantiti yang banyak dan bermutu tinggi. Dengan menggunakan teknik inokulasi tersebut penghasilan teras gaharu dapat dijamin terbentuk dsalam tempoh dua tahun dan dengan jumlah yang lebih banyak berbanding cara tradisi atau semulajadi.

 Sejarah

Gaharu atau ‘agarwood’ adalah antara produk tumbuhan termahal di dunia. Gaharu sangat penting dalam pembuatan minyak wangi dan penghasilan ubatan. Harga gaharu bergred double super mencecah USD30,000 sekilogramdi pasaran antarabangsa pada hari ini. Manakala harga gaharu Malaysia yang termahal pernah direkodkan ialah USD27,400 sekilogram.

Bau haruman gaharu adalah agak kompleks tetapi menyenangkan. Gaharu dan minyak patinya memilikki kepentingan kebudayaan dan keagamaan di seluruh dunia sejak tamadun purba. Aguru @ Gaharu yang bermaksud kayu berat (tenggelam) telah tertulis di dalam teks-teks tertua - Sanskrit Vedas dari India.

Sejarah perdagangan gaharu bermula seawal abad ketiga direkod dalam tulisan Wa Zen dari Dinasti Wu. Wa Zen menceritakan dalam tulisannya bahawa gaharu diperolehi dari Vietnam dan bagaimana orang mengutip ia di gunung-ganang.

Bermula pada 1580 selepas Nguyen Hoang mengambil kuasa terhadap wilayah tengah moden iaitu Vietnam, beliau galakkan perdagangan dengan negara-negara lain, khususnya China dan Jepun. Beliau mengeksport tiga jenis Gaharu iaitu Kalambak, kỳ nam dan trầm hương. Beliau membeli satu paun Kalambak dalam Hoi An untuk 15 taels dan boleh dijual di Nagasaki dengann harga 600 taels. Kemudian Nguyen Lords telah menubuhkan Sebuah Royal Monopoly mengenai jualan Kalambak. Dengan memonopoli perdagangan ini beliau telah dapat membantu dana kewangan negara Nguyen semasa awal tahun pembangunannya.

Di Malaysia, usaha perniagaan dan eksport gaharu telah bermula sejak Kerajaan Melayu Melaka lagi. Malahan spesis Aquilaria Malacensis juga sebenarnya adalah dengan mengambil nama Kerajaan Melaka. Resin kayu Karas dari Melaka telah di eksport ke timur Tengah melalui India dan Hadralmaut.Dan dalam masa yang sama, eksport teras gaharu juga menjangkau ke Negara Cina dan Jepun.



 Kegunaan.

Pati minyak gaharu atau lebih dikenali sebagai minyak atsiri gaharu digunakan secara meluas didalam industri minyak wangi (perfume) kerana minyak gaharu mempunyai kandungan laxative (daya lekatan pada kulit & kain) yang sangat tinggi. Minyak atsiri gaharu ini dihasilkan melalui proses penyulingan kayu gaharu.

Teras @ Resin Gaharu di gunakan oleh semua agama di dunia ini. Hal ini kerana resin gaharu mempunyai kandungan ion positif (+ve) yang sangat tinggi. Ion positif ini dapat menenangkan fikiran, oleh kerana itu tidak hairanlah jika teras dan kayu gaharu ini sering dibakar di rumah-rumah ibadat semua agama.

Kayu gaharu yang bergred tinggi akan dicampurkan dengan sedikit teras gaharu bergred rendah bagi menghasilkan Bakhoor. Adalah menjadi kebudayaan tradisi masyarakat di Timur tengah membakar Bakhoor sebagai satu upacara tuan rumah menghormati kehadiran tetamu mereka. Semakin tinggi pangkat dan jawatan si tetamu, maka semakin tinggi pula nilai kualiti gaharu yang dibakar. Gaharu akan di bakar menggunakan bekas pembakar yang khas. Para tetamu pula akan mengasapkan janggut dan jubah mereka secara bergilir gilir. Selepas itu, bilik atau ruang tamu tempat mereka berbual akan di asapkan dengan membakar Bakhoor sebagaimana bahan pewangi potpouri dalam masyarakat moden. Dalam budaya masyarakat Arab pula, gadis gadis dan pemuda Arab yang menggunakan minyak pewangi gaharu (Oud) adalah di anggap sebagai golongan bangsawa.

Sejak lama juga gaharu telah digunakan dalam perubatan tradisional masyarakat Cina (sengseh) bagi mengubati penyakit sendi (rheumatism), lelah (asthma), demam panas, radang peparu, gastrik dan lain-lain penyakit lagi. Bukan setakat itu sahaja, orang-orang asli di Malaysia juga menggunakan Gaharu sebagai antivanom sekiranya terkena sengatan serangga berbisa. Daun gaharu ditumbuk lumat kemudian ditampalkan pada tempat yang terkena sengatan, kemudian teras gaharu ditumbuk sehingga hancur dan dicampurkan dengan madu lebah untuk diminum.

 Pasaran.

Industri Gaharu telah lama dikomersialkan di Thailand, Indonesia, Kemboja, Laos, Vietnam, Filipina, India, Papua New Guinea dan Sri Lanka. Walaupun penanaman gaharu secara komersial telah mula giat dijalankan sejak tahun tahun 90an yang lalu di Asia tenggara,jumlahnya di jangka hanya mencapai 18% sahaja dari seluruh keperluan pasaran dunia.

Dalam tempoh lima tahun kebelakangan, gaharu telah berkembang dengan rancak, bukan sahaja menjadi aktiviti hiliran untuk industri minyak wangi dan bakhoor semata. Kini kreativiti industri hiliran gaharu telah merebak dengan cepat dari sector kesihatan dan perubatan hinggalah ke sector perawatan kecantikan. Diantara industri hiliran yang telah di bangunkan di Malaysia ialah penghasilan Teh Hijau Gaharu, Lotion minyak Gaharu, Sabun Gaharu,Bantal daun Gaharu dan sajadah dari serat kulit gaharu.

Pemasaran minyak atsiri gaharu lebih tertumpu di Negara-negara Timur Tengah dan Eropah. Ini terjadi kerana terdapat banyak kilang-kilang yang menggunakan minyak gaharu sebagai bahan asas untuk industry perfume mereka. Sementara itu pemasaran teras kayu gaharu pula lebih tertumpu di Negara-negara Timur Tengah, Jepun dan Vietnam.



Biologi Tanaman.

* Nama Tempatan: Gaharu/Depu/Karas.
* Nama Lain: Agarwood, Aloeswood, Jinkoh dan Oud.
* Famili: Thymelaeaceae.
* Spesis: Aquilaria.
* Sub-spesis: Terdapat 48 sub-spesis gaharu yang terdapat di seluruh dunia.
* Lokasi: Hutan Hujan Khatulistiwa & Hutan Hujan Tropika (berada disekeliling garisan Khatulistiwa)

a) Pokok Gaharu akan hidup subur dikawasan-kawasan seperti:-

• Ketinggian: 0 hingga 750 meter dari paras laut
• Purata Taburan Hujan: kurang dari 2000cm³.
• Suhu: Diantara 27°C hingga 32°C
• Pencahayaan: 70% hingga 100% pencahayaan setiap hari
• pH tanah: 4.0 – 6.0 pH
• Kesesuaian Tanah: Tanah bukit, berbatu, tanah liat berpasir dan tanah gambut.

b ) Biologikal Pokok Gaharu Semulajadi di dalam Hutan di Malaysia :-
• Ketinggian: Diantara 20kaki hingga 90kaki
• Ukurlilit: Diantara 30inci hingga 90inci
• Pembiakan: Biji Benih (mempunyai 2biji bagi setiap buah)
• Cara Pembiakan: Letupan, Angin dan Binatang (Tupai & Burung)
• Penghasilan Teras: Jangkitan Fungus, Luka dahan kerana patah, Serangan Anai-anai, Kumbang,lebah, Dahan Patah Serta Kulit dimakan oleh Tupai

c ) Biologikal Pokok Gaharu yang ditanam secara Komersial:-
• Ketinggian: Diantara 18kaki hingga 25kaki
• Ukurlilit: 8inci hingga 20inci
• Pembiakan: Biji Benih
• Cara Pembiakan: Semaian biji benih didalam petak semaian
• Penghasilan Teras: Perawatan dijalankan pada pokok berusia 4tahun atau pokok yang telah mencapai ukur  lilit 8inci, melalui proses inokulasi @ proses inducement.



Buat masa ini harga pasaran gaharu mengikut gred yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dalam bengkel Penyeragaman Penggredan Gaharu di Semenanjung Malaysia pada Jun 2007 bertempat di Kuala Lipis.
Gred Pasaran Gaharu


JADUAL GRED HARGA DI PASARAN MENGIKUT HARGA SEMASA.
(HARGA PENGGUNA AKHIR)
GRED
HARGA /KG
SUPER A
25,000
A
20,000.00
B
15,000.00
C
10,000.00
D
5,000.00
E
2,000.00
LAIN-LAIN GRED
500.00 – 1,000.00
GRED KAYU UNTUK MINYAK
5.00 – 100.00
MINYAK GAHARU
300.00 – 350.00/tola @ /12ml